Kamu Lupa Asah Kapak
Sampai satu tahap dalam kehidupan, selepas kita mengharunginya dengan penuh kesungguhan dan kegigihan, kita akan melanggar dinding kepenatan.

Kita rasa seakan keletihan. Tiba-tiba rasa lemah. Tiba-tiba hilang kekuatan. Kita lihat prestasi kita menurun. Kita nampak kualiti kita merendah. Tertanya-tanya kita akan sebabnya. Lantas kita usaha melipat gandakan usaha, menambah amal, tetapi apa yang terjadi adalah penurunan.

Turun dan semakin turun.

Kenapa?

Kerana kita lupa mengasah ‘kapak’ kita.


Kisah Si Pemotong Pokok

Terdapat seorang pemotong pokok, bersama kapaknya yang sangat tajam. Dia hendak bekerja mencari makan. Maka dia pergi bertemu dengan seorang tuan kepada tanah yang dipenuhi banyak pokok. Tuan tanah itu memerlukan orang untuk menebang pokok.

Maka bermulalah kerjanya. Hari pertama dia berjaya menumbangkan 30 batang pokok. Dia memulakan hari keduana dengan gembira. Juga 30 batang pokok berjaya ditumbangkan.

Tuan Tanah gembira. Pemotong pokok juga senang hati. Esoknya dia berjanji hendak datang lagi. Namun perkara mengejutkan berlaku pada hari ketiga. Dia hanya mampu memotong 20 batang pokok sahaja.

Si Pemotong kehairanan. Dia tidak merasa staminanya menurun. Maka dia berkata kepada Tuan Tanah: “Esok, saya akan potong lebih banyak lagi.” Dia berazam melipatgandakan usaha.

Namun, hari keempat, dia hanya mampu memotong 10. Lebih sedikit dari hari yang ketiga, walaupun dia berusaha telah lebih kua. Dia merasa tidak senang dengan prestasinya. Maka sekali lagi dia berjanji dengan Tuan Tanah: “Esok, saya pasti akan memperbaiki prestasi saya”

Pada hari kelima, dia bermati-matian berusaha. Namun mengejutkan, setiap pokok yang hendak dipotongnya memakan masa yang amat lama. Di akhir hari, dia hanya mampu menebang 5 batang pokok sahaja.

Dia menangis di akhir hari itu. Menghentam-hentam dirinya dengan pertanyaan: KENAPA?

Tuan Tanah yang melihat Si Pemotong itu, datang mendekatinya dan bertanya:

“Apakah kamu mengasah kapak kamu?”

Ketika itu Si Pemotong tersentak.

Ya, dia tidak mengasah kapaknya!

Kapak dalam kehidupan kita

Di dalam kehidupan kita, kapak dalam cerita tadi boleh didefinasikan sebagai ‘daya keimanan’.

Sampai satu tahap, selepas mengharungi pelbagai jenis halangan, cabaran dan dugaan, akan muncul satu dugaan di dalam kehidupan kita. Itulah dia dugaan ‘rasa penat, rasa lemah, rasa tak bermaya’ untuk melaksanakan kerja.

Kita perasaan akan masalah ini bila ianya berlaku. Tetapi biasanya, langkah penyelesaian yang diambil oleh kita adalah silap. Kita biasanya akan bertindak untuk melipat gandakan usaha, menambah lagi berat atas kehidupan kita dan sebagainya.

Kita terlupa untuk melihat punca sebenarnya.

Daya keimanan. Apakah sumber daya itu kita lihat kembali?

Kenapa tidak mampu lagi membaca Al-Quran dengan banyak? Kenapa tidak mampu lagi solat dengan khusyu’? kenapa tidak mampu lagi menundukkan pandangan? Kenapa tidak mampu lagi istiqomah atas kebaikan? Kenapa rasa tidak mampu memikul kebaikan sepanjang amalan kehidupan?

Kerana daya keimanan kita menumpul. Yang menolak manusia, hamba kepada Allah SWT untuk kekal taat kepada-Nya yang Ghaib itu, untuk mengejar pahala pemberian-Nya yang tidak kelihatan itu, hanyala dengan keimanan.

Bila keimanan menumpul, maka kekuatan untuk beramal juga menurun.

Menghidupkan Daya Keimanan

Bila kita perasan akan hal ini, penurunan kualiti dan prestasi kita sebagai hamba Allah SWT, maka langkah untuk menghidupkan semula keimanan itu perlu diambil.

Antara yang utama adalah kembali memerhatikan hubungan dengan Allah SWT. Muhasabah dan membuat pengisian. Sebab itu, kata-kata yang masyhur daripada sahabat Rasulullah SAW, antaranya adalah: “Mari duduk sebentar dan beriman”

Bukanlah beriman itu sebentar sahaja. Tetapi dalam waktu yang sebentar itu, keimanan itu di’recharge’ kembali untuk dibawa mengalir pada segenap kehidupan, segenap kerja dan amalan.

Sebab itu, kadangkala jiwa ini perlu kembali di’recharge’ dengan pengisian-pengisian. Perlu wujud tempat perhentian untuk kita mengambil ‘bekalan’.

Antara cara lain adalah duduk bersama rakan-rakan yang soleh. Lakukan program bersama seperti Solat Subuh berjemaah bersama mereka, sarapan pagi bersama, qiamullail bersama, dalam kadar yang sederhana seperti seminggu atau dua minggu sekali. Berziarah bertemu mereka juga satu bentu ‘tambahan’ kekuatan.

Penutup: Maka perhatikan kapak kalian

Dalam hidup kita, kita perlu menebas jahiliyyah. Bila hendak beramal, kita perlu menebas kemalasan, hasutan, godaan dan sebagainya. Hendak taat kepada Allah, kita perlu menebas syaitan dan cinta kepada hawa nafsu.

Kita memerlukan kapak kita.

Justeru, jangan kita lupa mengasahnya.

Kekuatan tidak akan terbina dengan tiba-tiba. Pasti ada sumbernya. Maka bila kekuatan kita punya masalah, maka lihatlah akan sumbernya.

Jangan biarkan rawatannya lewat. Nanti diri sendiri akan merana.
ISTERI yang SOLEHAH


Isteri yang soleh, adalah asas yang terpenting sekali daripada asas yang lain. Kegagalan asas ini boleh mengakibatkan asas-asas lain tidak akan benar-benar berfungsi untuk memberi kebahagiaan sebenarnya di dalam kehidupan. Tanpa wujud isteri yang soleh maka keluarga-keluarga Islam tidak akan dapat diwujudkan. Sedangkan pembinaan dan terbentuknya pergerakan Islam itu bergantug kepada kelahiran keluarga Islam ini. Kalau sekiranya pergerakan Islam itu penting untuk membawa dan mempraktikkan Islam maka isteri yang Soleh juga sama pentingnya.


Isteri yang soleh itu sentiasa berjuang bersama-sama suami menyebarkan fikrah Islamiyyah, khususnya kepada kaum sejenisnya. Mendidik dan membimbing mereka sehingga lahir kefahaman dan kesedaran Islam. Sehingga mereka pula mampu untuk menjadi pejuangpejuang akidah yang bersedia menumpukan taat setia kepada Islam dan pergerakannya. Keletihan suami setelah melaksanakan tugas harian dan berdakwah disambut dengan wajah yang berseri dengan ucapan kata-kata yang dapat memberi kekuatan jiwa untuk lebih istiqamah, ketika menghadapi masyarakat jahiliyah tanpa mempunyai perasaan bosan dan jemu. Mengizinkan dan merasa bahagia melihat suami menjalankan tugas Islam tidak kira masa dan waktu. Bersedia memberikan rumahnya, hartanya dan masanya untuk tugas yang murni ini dengan hati yang penuh redha. Isteri yang soleh juga sentiasa melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya dengan sebaik-baiknya dan bersedia untuk menghadapi segala ujian-ujian dari Allah SWT.


Sifat-sifat yang lain 'Isteri yang Soleh' ialah :


1. Isteri yang soleh itu ialah yang taat kepada Allah dan Rasul dan patuh kepada perintahNya. Sanggup menjaga maruahnya walaupun di tempat-tempat yang sunyi dari pandangan orang lain, juga yang sering mengingati Alah serta takut kepadaNya dengan sebenar-benar takut, tetapi berani di dalam menegakkan Islam.


Firman Allah S.W.T maksudnya:


"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang Soleh ialah yang taat kepada Allah iagi memelihara diri di sebalik pembelakangan suaminya oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)." (An-Nisa': 34)


2. Isteri mesti bersyukur akan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada suaminya.


3. Isteri mesti taat kepada suaminya.


Maksud sabda Rasulullah S.A.W:

"Kalau boleh aku menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang yang lain nescaya aku menyuruh isteri supaya sujud kepada suaminya".


4. Maksud sabda Rasulullah S.A.W.

"Hak suami atas isterinya ialah si isteri tidak meninggalkan tempat tidurnya, hendaklah ia menghargai sumpah suami, hendaklah ia taat kepada suami dan janganlah ia keluar rumahnya melainkan dengan izin dan janganlah ia membenarkan masuk ke rumahnya orang yang tidak disukai oleh suaminya."


5. Isteri mesti menjaga hak dan kehormatan suaminya, samada suaminya ada di rumah atau tidak. Tingkah laku hendaklah disukai oleh suaminya. Ditegah menyembunyikan harta benda suami. Dan ditegah juga berbangga-bangga akan kecantikan dirinya dan pada keluarganya. Jangan pula menghinakan suaminya kerana mempunyai rupa dan wajah yang buruk.


6. Isteri mestilah mendahului hak suaminya daripada hak dirinya sendiri atau kaum kerabatnya, sentiasa menunjukkan hemah yang tinggi, lemah lembut tidak maki hamun, sumpah-seranah, umpat-keji, bantah membantah dan lain-lain.


7. Menunjukkan sikap yang jernih dan kemesraan dan lapang dada serta segala hal yang menyebabkan kesenangan suaminya diwaktu dia ada di rumah. Selalu di dalam setiap tindakan dan keputusan, tingkahlaku budi bicara, tutur bahasa dan makan-minum janganlah terkeluar dari landasan yang digariskan oleh Islam.


8. Maksud sabda Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik wanita ialah perempuan yang apabila engkau memandangkan ia menyukakan hati dan apabila engkau tidak ada ia menjaga harta engkau dan memelihara dirinya."


9. Isteri yang Soleh mengikut pandangan Islam adalah isteri yang berpengetahuan, berakhlak mulia, tahu melayan suami serta mengasihi dan mendidik anak-anak ke jalan hidup yang dikehendaki oleh Allah dan mengikut landasan yang ditunjuki oleh Rasulullah S.A.W.


10. Pesanan Imam Al-Ghazali kepada anak perempuannya di hari perkahwinannya.


Anakku!

Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau

dibesarkan

Dan akan berada di tempat tidur yang tidak engkau kenal,

Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya.

Itulah suamimu;

Jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi

sebagai langitmu.

Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia dapat kau jadikan

tiangmu.

Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam kepadanya, nescaya dia

pula akan menjadi khadam kepadamu.

Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu

daripadanya

Dengan cara yang demikian akan menjadi ia merasa benci padamu.

Jangan pula engkau menjauhkan diri nescaya ia akan melupakan

engkau.

Dan kalau ia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu

sebab yang tertentu, maka yang eloknya jauhkanlah dirimu dari

padanya semasa marah.

Peliharalah hidung, telinga dan matanya Janganlah membiarkan dia

menghidu sesuatu daripada mu melainkan yang harum,

Janganlah membiarkan dia mendengar sesuatu daripadamu

melainkan yang baik,

Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripada mu

melainkan yang cantik, belaka.

al-Mukminah as-Solehah (www.dakwah.info)

CERITA TAK MASUK AKAL
Seorang ayah pergi merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.

Setelah keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.

Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.

Beberapa tahun berlalu…

Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:
- Mana ibumu?
- Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.
- Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?
- Tidak!
- Di mana pula abangmu?
- Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia sudah jadi sebahagian daripada mereka.
- (Ayah semakin hairan) Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca suratku?
- Tidak!
- لا حول ولا قوة إلا بالله
- Kakakmu di mana?
- Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu. Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang masa lahir dan batin.
- Bukankah aku telah jawab surat itu menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan, jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua surat-suratku?
- Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…

Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali!

Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk akal inilah yang berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini?

Kita menerima surat dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. Surat yang mengandungi panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?

Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.

Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran daripada Surat yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang kepada makhluk-Nya!

di copy paste dr : http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2010/03/cerita-tak-masuk-akal.html
  • YM me!

    Followers

    PERJUANGANKU

    Pasti Tok Selehor
    (1994-1996)

    Sek Keb Kok Pasir
    (1997-2002)

    Maahad Muhammadi Perempuan,Kota Bharu
    (2003-2007)

    Darul Quran JAKIM,Kuala Kubu Bharu
    (29 Dec 2007-05 Julai 2008)

    IPGM Kampus Pendidikan Islam
    (14 Julai 2008-Dec 2013)